Player Rating: Tewas 2-1 kepada Shandong Luneng, Safawi hadiahkan gol cantik buat JDT

Johor Darul Ta’zim (JDT) terbang ke Jinan, Shandong untuk bertemu dengan pasukan Shandong Lunen bagi aksi ketiga Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2019. Berhadapan dengan pasukan yang mempunyai kelebihan daripada sudut fizikal nyata menyukarkan JDT untuk menyaingi wakil daripada China ini.

Shandong Luneng terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Maruoane Fellaini pada minit ke-30 sebelum bekas penyerang skuad kebangsaan Itali, Graziano Pelle menggandakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua, JDT meningkatkan intensiti dan berjaya meraih gol menerusi Safawi Rasid pada minit ke-60. Menjelang minit-minit akhir permainan, Gonzalo Cabrera hampir-hampir mengikat Shandong Luneng namun bola menerusi sepakan percumanya sekadar ‘mencium’ palang gol.

Kedudukan kekal 2-1 dan Shandong Luneng berjaya meraih tiga mata penuh di laman sendiri.

Berikut adalah rating pemain-pemain JDT yang diberikan oleh FOX Sports Malaysia dalam perlawanan sebentar tadi:

Farizal Marlias – 6/10

Melepaskan dua gol. Satu daripadanya berpunca daripada situasi sepakan penjuru yang ditanduk oleh Maruoane Fellaini. Manakala, gol kedua berpunca daripada sepakan penalti. Dalam situasi permainan terbuka, Farizal beberapa kali melakukan aksi percubaan terhadap bola yang tepat ke sasaran.

La’Vere Corbin Ong – 6/10

Bertenaga. Sentiasa naik dan turun di sebelah kiri samada ketika menyerang mahupun bertahan.

Mauricio – 6.5/10

Kehadiran pertahanan dari Brazil ini mampu memberikan saingan fizikal kepada barisan serangan Shandonh Luneng yang rata-ratanya tinggi lampai.

Aidil Zafuan Razak – 5/10

Dua hingga tiga kali melakukan ‘blocking’ termasuk percubaan daripada Graziano Pelle. Bagaimanapun kesilapan beliau membaca bola yang datang menyebabkan pasukan lawan berjaya mendapatkan penalti.

S. Kunanlan – 6/10

Larian oleh pertahanan senior ini berjaya mendapatkan sepakan penjuru pertama buat JDT dalam perlawanan ini. Banyak naik ke atas pada babak kedua untuk membantu Safawi.

Afiq Fazail – 6/10

Pemain muda ini cukup rajin di atas padang. Gandingan beliau bersama Hariss Harun membentuk perlindungan kepada barisan pertahanan JDT apabila diserang.

Hariss Harun – 7/10

Memberikan sumbangan yang besar kepada JDT dalam situasi bertahan dan menyerang. Ketenangan yang ada pada sang kapten ini membolehkan bahagian tengah JDT mengatur serangan walaupun sukar.

Nazmi Faiz Mansor – 4.5/10

Agak suram penampilan beliau oada perlawanan ini. Bergelut untuk menjalankan tugasnya selaku pemain No.10 menentang Shandong Luneng. Dikeluarkan pada minit ke-62.

Gonzalo Cabrera – 7/10

Lincah dan pantas. Babak pertama beliau banyak mendominasi bahagian sayap. Apabila Akhyar dimasukkan, Cabrera ditolak untuk menjalankan fungsi pemain No.10. Sememangnya terdapat perubahan corak permainan JDT yang terhasil daripada perubahan ini.

Diogo Luis Santo – 6.5/10

Seperti biasa, menjadi ‘targetman’ kepada pasukan JDT. Bertindak untuk ‘hold ball’ sebelum membuat keputusan untuk melakukan hantaran kepada rakan sepasukan. Terpaksa dikawal kemas oleh pertahanan lawan apabila Diogo mendapat bola.

Safawi Rasid – 7/10

Mel3dak satu gol cantik menewaskan penjaga gol Shandong Luneng, Wang Dalei pada babak kedua.

Kredit Video: ROTP

Pemain gantian:

Akhyar Rashid – 5/10

Masuk pada babak kedua menggantikan Nazmi Faiz Mansor. Beliau mengambil tempat Cabrera di bahagian sayap kiri.

Syafiq Ahmad – n/a

Masuk menggantikan Safawi Rasid pada minit ke-86. Tidak banyak dapat dilakukannya.

Foto Kredit: JOHOR Southern Tigers

 

Sumber: FoxSports

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*