JDT keletihan hadapi banyak perlawanan – Luciano Figueroa

Pengurus pasukan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa mengakui perjalanan dan perlawanan yang padat membuatkan anak buahnya keletihan ketika menentang Petaling Jaya City Football Club (PJ City FC), semalam.

Paling ketara, persembahan JDT ketika babak kedua dilihat kurang memberangsangkan dan menyebabkan mereka gagal menggandakan kedudukan setelah mendahului 1-0 pada minit ke-26 menerusi Syafiq Ahmad.

Bagaimanapun, Luciano Figueroa tetap memberikan penghargaan kepada para pemainnya kerana berjaya meraih tiga mata penuh seterusnya meneruskan penguasaan di puncak Liga Super Malaysia selepas sembilan perlawanan.

“Kami agak keletihan dan ianya normal, kami lalui banyak perjalanan, terlibat dalam banyak perlawanan. Anda boleh lihat pada perlawanan hari ini, ketika separuh masa kedua kami amat keletihan.

“Sangat penting mencatatkan kemenangan, saya amat gembira. Pujian kepada pemain, mereka lakukan yang terbaik.” kata Luciano sejurus selepas perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pada pertengahan dan hujung minggu ini, JDT bakal menerima kunjungan Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) di Stadium Larkin bagi saingan pusingan ke-3 Shopee Piala FA 2019 dan aksi ke-10 Liga Super Malaysia.

Walaupun berdepan dengan jadual perlawanan yang padat, Luciano yang juga bekas penyerang JDT suatu masa dahulu tetap menanam tekad untuk menggapai kemenangan menentang anak buah Datuk K. Rajagobal lebih-lebih lagi bermain dihadapan penyokong sendiri.

“Ya, kami akan hadapi PKNS FC di laman sendiri, kami akan cuba catatkan kemenangan dengan gaya dan corak permainan kami. Kita akan lihat nanti.” tambah Luciano.

Aksi tersebut dijadualkan pada 17hb (Piala FA) dan 20hb (Liga Super) April, dengan sepak mula jam 9 malam.

Foto Kredit: JOHOR Southern Tigers

 

Sumber: FoxSports

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*