Tak kisah gol tak cantik, janji menang

LUMUT  – Sekalipun kemenangan diraih atas faktor nasib gara-gara gol sendiri pihak l4wan, PKNP FC tetap gembira meraih mata penuh, sekali gus membaiki kedudukan dalam Liga Super untuk naik ke tangga ketujuh.

Dalam pertemuan dengan Melaka United di Stadium Perbandaran Manjung di sini malam tadi,PKNP FC menang 1-0, hasil gol sendiri pertahanan lawan, Ahmad Khuzaimi Piee pada minit ke-65 perlawanan.

“Saya akui, kita menang mungkin kerana nasib namun yang penting kita memungut mata penuh di gelanggang sendiri,” kata penolong jurulatih PKNP FC Chan Wing Hoong dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Pada masa sama,dia turut memuji semangat juang anak-anak buahnya selain berjaya mengikut arahan dan strategi yang disusun jurulatih.

Win Hoong berharap pemain dapat meneruskan momentum kemenangan pada aksi pusingan ketiga Piala FA, menentang PDRM, Rabu ini.

Sementara itu, penolong jurulatih Melaka, Nidzam Adzha Yusoff berkata,  kesilapan individu yang dilakukan pasukannya menyebabkan mereka terpaksa berputih mata.

“Walaupun kita lebih banyak menyerang dan menghasilkan peluang untuk menjaringkan gol namun sedikit kesilapan yang dilakukan menyebabkan kita gagal untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mahu pemain melupakan kekalahan itu dan memastikan keputusan positif semasa bertemu Kedah di gelanggang sendiri pada 21 April ini.

Keputusan malam tadi menyaksikan Melaka kekal di tangga keenam dengan 11 mata.

 

Sumber: BERNAMA via UtusanOnline

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*