Final ini betul-betul jenaka Brexit – Mancini

ROME: Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Itali, Roberto Mancini pagi ini berseloroh mengenai empat pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menguasai pentas final Eropah tatkala England sedang menyakinkan rakyatnya supaya keluar dari Kesatuan Eropah atau dirujuk sebagai Brexit.

Liverpool dan Tottenham sedang bersiap sedia berdepan dalam final Liga Juara-Juara di Madrid pada 1 Jun manakala Arsenal akan berdepan Chelsea dalam final Liga Europa yang dijadual berlangsung di Baku, Azerbaijan pada 29 Mei ini.

Kemaraan pasukan itu satu sejarah dalam final Liga Juara-Juara/Piala Eropah dan Liga Europa /Piala UEFA yang menyaksikan hanya wakil dari sebuah negara berentap sesama mereka.

Ditanya mengenai pasukan EPL yang mara dalam dua final Eropah itu, bekas pengurus Manchester City itu menjawab: “Apa maknanya itu? Mereka mahu keluar dari Kesatuan Eropah tetapi pasukan mereka berentap di final bola sepak Eropah.

“Pasukan Inggeris memang kuat, mereka meraih banyak pendapatan, lebih banyak berbanding pasukan Itali. Mereka boleh membuat pelaburan besar. 

“Sudah pasti mereka memiliki skuad dengan pemain hebat. Ini satu daripada sebabnya mengapa mereka lebih berjaya.

“Pasukan yang tersingkir dari Liga Juara-Juara sebenarnya kuat dari segi teknikalnya, tetapi inilah kehebatan bola sepak. Tiada siapa menyangka dua pasukan Liga Inggeris ini ke final.”

Mancini yang memiliki pengalaman memacu kejayaan di Serie A bersama Inter sebelum mengetuai kejayaan City pada 2012 kini sedang memilih barisan muda untuk skuad kebangsaannya.

Jurulatih berusia 54 tahun itu menggantikan Gian Piero Ventura susulan persembahan hambar Itali yang gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Begitupun, Itali ketika ini menduduki tangga teratas Kumpulan J Kelayakan Euro 2020 hasil membelasah Lichtenstein 6-0 dan menewaskan Finland 2-0 Mac lalu.

“Saya rasa tahun ini musim yang baik buat Itali, pada permulaan, pasukan ini beraksi biasa-biasa saja dan selepas itu banyak pemain yang bermain dengan bagus. Ini berita baik buat kami.

“Itali lazimnya memiliki pemain yang bagus. Kami menang semua perlawanan yang tidak meletakkan Itali sebagai pasukan pilihan.

“Saya tidak fikir Itali adalah pasukan pilihan tetapi saya percaya kami memiliki pasukan yang kuat untuk berdepan cabaran penting peringkat Eropah.”

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : Agensi via BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*