Siapapun diturunkan, Cheng Hoe mengharapkan kemenangan lebih besar

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe masih belum memutuskan kesebelasan utama untuk diturunkan dalam aksi timbal balik kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, tetapi tidak menolak kemungkinan akan membuat sedikit rombakan tatkala dia mahu memberi peluang beraksi kepada semua pemainnya.

Malaysia membawa bekalan selesa enam gol untuk aksi kedua susulan kemenangan besar 7-1 pada Jumaat lalu dan defisit itu dilihat sukar untuk diterbalikkan oleh pasukan lawan.

Justeru ini dilihat peluang terbaik untuk memberikan minit bermain kepada pemain yang belum beraksi sejak perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Nepal pada 2 Jun lalu antaranya Irfan Zakaria, D.Kenny Palraj serta dua penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim dan Zharif Irfan.

Manakala pemain yang masuk sebagai gantian ketika lawan Timor Leste seperti Faiz Nasir, Akhyar Rashid dan Shahrel Fikri berpeluang untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama.

“Memang akan ada rombakan, kerana kita kehilangan Syafiq Ahmad yang ceder4 (MCL). Dia bermain dalam kesebelasan utama tempoh hari. Saya juga sedang memantau kecergasan Syazwan (Zainon) dan Dominic Tan yang mengalami kecedera4n ringan. Mungkin mereka sempat pulih sebelum aksi esok.

“Namun siapapun diturunkan, saya mahu pemain-pemain memberikan tumpuan dan semangat yang sama, turun ke padang dengan keyakinan yang sama, fokus sepenuhnya dan bermain dengan cara yang sama dalam perlawanan pertama. Saya tahu semua pemain bersemangat dan dahagakan untuk bermain dan menyarung jersi Harimau Malaya, jadi saya perlu mencari kesebelasan terbaik esok, saya tidak mahu pemain merasa gentar dan tertekan, “ katanya dalam sidang media pra-perlawanan pada Isnin.

Dalam masa sama, Cheng Hoe juga menekankan bahawa meskipun Harimau Malaya sudah sebelah kaki ke pusingan seterusnya dia tetap mahu melihat pasukan negara mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua dengan penuh bergaya, apatah lagi kemenangan akan membantu melonjakkan ranking pasukan negara.

“Walaupun kita sudah menang dua aksi (termasuk Nepal), adalah penting kita terap mentaliti tidak mudah berpuas hati dan mencari kemenangan dalam setiap aksi. Ia cukup instrumental untuk melonjakkan ranking. Ranking sangat penting untuk undian pusingan kedua nanti, jadi saya nak pemain turun ke padang dengan misi untuk dapatkan keputusan yang positif. Perlawanan ini juga penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan pada pusingan seterusnya, di mana kita akan bertemu pasukan yang lebih kuat,” tambahnya.

Kemenangan akan menyaksikan Malaysia bersama-sama lima lagi pemenang lain di pusingan pertama, menyertai 34 pasukan terbaik Asia di pusingan kedua, termasuklah juara Asia yang juga tuan rumah Piala Dunia, Qatar.

Pada pusingan kedua yang dijadual pada September, 40 pasukan ini akan diundi ke dalam lapan kumpulan.

Hanya juara kumpulan dan empat pasukan tempat kedua terbaik setiap kumpulan akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan tempat automatik di Piala Asia.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : FoxSports

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*