Manchester United ikat Juan Mata

LONDON: Manchester United mengikat pemain tengah Juan Mata dengan kontrak baharu selama dua tahun bersama pilihan bagi melanjutkan perjanjian untuk musim akan datang.

Mata, 31, bebas berbincang bersama kelab lain dengan kontrak sebelum ini bakal tamat pada bulan ini ketika kedua-dua pihak masih mengadakan perbincangan.

Bagaimanapun, selepas Ander Herrera dan kapten kelab itu, Antonio Valencia meninggalkan Old Trafford menerusi perpindahan percuma musim panas ini, United berhasrat menghalang Mata daripada mengikut jejak langkah mereka.

“Ia adalah satu penghargaan apabila dapat terus mewakili kelab yang menakjubkan dan juga peminat kami yang luar biasa. Saya sudah bersama Manchester United selama lima tahun dan saya bangga mengatakan Old Trafford adalah rumah saya,” kata Mata yang sebelum ini bersama Chelsea sebelum berpindah ke United pada 2014 dengan yuran perpindahan  £37 juta pound (RM195.37 juta).

“Saya tak sabar untuk terus bekerja sama Ole (Gunnar Solskjaer) dan pegawai kejurulatihan yang hebat, visi yang mereka ada untuk kelab ini sungguh mengujakan dan saya sungguh gembira akan menjadi sebahagian daripadanya.”

Sepanjang lima tahun bersama United, Mata menjaringkan 45 gol dalam 218 penampilan dan memenangi Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga.

Solskjaer banyak melakukan penambahbaikan di United selepas kelab itu sekadar berada di kedudukan keenam Liga Perdana musim lalu sekali gus terlepas saingan Liga Juara-Juara.

“Juan adalah pemain yang sangat profesional dan antara pemain paling bijak yang saya pernah bekerjasama,” kata Solskjaer.

 

Sumber: AFP via BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*