Hajime Moriyasu mahu panggil semula Kubo

ELO HORIZONTE, Brazil: Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu mempertimbangkan untuk memanggil semula bintang remaja, Takefusa Kubo untuk misi wajib menang Copa Amerika bertemu Ecuador.

Kubo bermain ketika Jepun ditewaskan Chile 4-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C di Brazil sebelum diletakkan di bangku simpanan ketika seri 2-2 menentang Uruguay minggu lalu.

Pemain berumur 18 tahun yang digelar “Messi Jepun” dan diikat Real Madrid sejurus sebelum kejohanan itu bermula hanya tampil sekali bersama pasukan kebangsaan sebelum ini, dalam satu perlawanan persahabatan pra-kejohanan bulan lalu.

“Sasaran kami adalah untuk ke suku akhir dan kami akan putuskan sama ada menurunkan atau tidak (Kubo) berdasarkan sesi latihan yang akan kami adakan,” kata Moriyasu.

“Dia mempunyai kemampuan, seperti yang anda lihat, untuk bermain dari mula.”

Moriyasu, yang membawa kebanyakan skuad bawah 23 tahun ke Brazil, menampilkan tujuh pemain yang membuat penampilan sulung ketika menentang Chile.

Dia memanggil beberapa pemain berpengalaman termasuk pemain veteran Leicester City, Shinji Okazaki bagi perlawanan Uruguay tetapi masih memberi peluang kepada dua pemain baru membuat penampilan sulung mewakili pasukan kebangsaan.

Jepun mempunyai misi menang atau perlu pulang dalam perlawanan akhir Kumpulan C pagi esok.

Ecuador juga berada dalam situasi sama, dengan keputusan seri akan menyebabkan kedua-dua pasukan tersingkir daripada saingan dan menyaksikan Paraguay layak sebagai pasukan di tangga ketiga terbaik bersama-sama Peru.

 

Sumber: AFP via BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*