Tiga pengadil Jepun sah adili final Piala FA 2019

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam mengesahkan kelibat tiga pengadil dari Jepun bakal mewarnai aksi final Shopee Piala FA 2019 yang menemukan dua jaguh dari Utara, Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 27 Julai ini.

Menurut Kevin, penglibatan tenaga pengadil dari negara matahari terbit itu bukan sahaja menyemarakkan lagi suasana final Shopee Piala FA 2019 sebaliknya dapat memberikan satu kelainan khususnya daripada aspek mutu pengadilan.

Bagaimanapun, pengadil tempatan turut tidak terlepas daripada diberikan tanggungjawab di mana seorang wakil negara akan terlibat sebagai pengadil keempat perlawanan dalam memantapkan lagi mutu pengadilan.

“MFL percaya bahawa JFA (Persatuan Bolasepak Jepun) akan memberikan wakil-wakil terbaik mereka untuk menjadi pengadil final Shopee Piala FA 2019

“FAM yang membuat perlantikan (pengadil aksi final Shopee Piala FA 2019) di mana saya juga percaya FAM akan memastikan pengadil itu sesuai dengan perlawanan ini dan saya berasa yakin final Shopee Piala FA 2019 akan berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar di SNBJ hari ini.

Sementara itu Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar yang turut hadir pada Mesyuarat Pengelola Final Shopee Piala FA 2019 mengakui pihaknya turut mengalu-alukan kehadiran pengadil dari Jepun kali ini.

“Perak tiada masalah siapa juga pengadil kerana FAM lebih arif dalam pemilihan pengadil, kita selaku pasukan akur asalkan perlawanan berjalan dengan baik jadi tak perlu kita pertikaikan,” katanya.

Turut senada adalah Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin yang percaya pendekatan FAM dan MFL itu seharusnya dipandang daripada sudut positif.

“Kami menyambut positif dengan lantikan pengadil berkecuali, bukan menidakkan pengadil tempatan, mungkin perlawanan penting ini langkah terbaik adalah menggunakan khidmat pengadil asing. Ini kebiasaan berlaku apabila pengadil kita bertaraf FIFA pun menjadi pengadil perlawanan akhir di Liga Filipina,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Kevin turut mengesahkan padang SNBJ telah berada dalam keadaan terbaik dan sedia untuk aksi final Shopee Piala FA 2019.

“Kita sudah teliti dalam tempoh sebulan dan MFL mahu mengucapkan terima kasih kepada pihak stadium kerana mengawal dan menghadkan penggunaan padang.

“Pihak stadium turut berusaha untuk memastikan padang keadaan terbaik untuk aksi final Shopee Piala FA 2019 ini dan MFL berharap tiada sebarang masalah berkaitan padang pada kali ini,” ujarnya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : FoxSports

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*