Danilo sertai Juve, Man City ikat Cancelo

LONDON: Manchester City menandatangani pertahanan kanan Portugal, Joao Cancelo dari Juventus manakala pertahanan tengahnya, Danilo mengambil laluan bertentangan dengan menyertai juara Itali itu.

City akan membayar yuran sebanyak 28 juta euro (RM131.95 juta) kepada Juve selepas Cancelo dinilaikan dengan 65 juta euro (RM306.30 juta) manakala Danilo berharga 37 juta euro (RM174.36 juta).

“City kelab yang menakjubkan, dengan pengurus yang hebat dan saya amat gembira untuk berada di sini,” kata Cancelo yang menandatangani kontrak selama enam tahun.

“Segala-galanya mengenai mereka membuatkan saya teruja, bermula daripada kemudahan, kepada gaya permainan. 

“Saya sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan permainan saya dan memenangi trofi dan saya percaya saya boleh melakukannya di sini, jadi saya benar-benar tidak sabar untuk mengharungi musim baharu dan menguji diri saya dalam Liga Perdana.”

Cancelo menjulang gelaran Serie A bersama Juventus selepas melengkapkan perpindahan bernilai 40 juta euro (RM188.49 juta) dari Valencia tahun lalu.

Sementara itu, Danilo adalah sebahagian daripada skuad City yang memenangi lima gelaran domestik Inggeris sejak dua musim lalu tetapi memainkan peranan selaku pemain gantian kepada Kyle Walker di bahagian pertahanan kanan.

“Sesuatu yang menggembirakan untuk menjadi sebahagian daripada kejayaan City dan saya menikmati masa saya di sini,” kata Danilo yang juga pemain kebangsaan Brazil dan menandatangani kontrak lima tahun di Juventus.

“Kelab sentiasa menakjubkan sejak dari hari pertama saya berada di sini dan saya akan sentiasa bersyukur. Kemenangan Liga Perdana akan sentiasa bersama saya dan City sentiasa akan berada dalam hati saya.”

 

Sumber: AFP via BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*