Tawar hati: Shahrel Fikri diminta jumpa Ahmad Faizal

IPOH – Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta pemain Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi berjumpanya secara peribadi sekiranya mempunyai masalah dalam pasukan itu.

Ahmad Faizal berkata, beliau tidak mengetahui dakw4an yang mengatakan Muhammad Shahrel Fikri berjauh hati dengan pengurusan Bola Sepak Perak sehingga bertindak memadamkan gambarnya menyarung jersi pasukan itu di laman Instagram miliknya.

“Saya tidak tahu mengenai perkara ini (jauh hati) malah cerita dia memadamkan gambar dalam Instagram pun saya tidak tahu. Saya juga tidak tahu jika dia ada masalah dalam skuad, apa pun saya akan perhatikan.

“Dalam ramai-ramai pemain Perak, dia ini telah saya anggap seperti anak sendiri. Kalau dia ada masalah, saya harap dia dapat berjumpa dengan saya, bukan sebagai Presiden Pafa tetapi sebagai bapanya,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Terdahulu Ahmad Faizal menghadiri program Kempen Sayangi Sawitku Bersama Penjawat Awam Negeri Perak sempena lawatan kerja Menteri Industri Utama, Teresa Kok ke Perak.

Ahmad Faizal berkata demikian bagi mengulas mengenai Muhammad Shahrel Fikri yang dilihat seakan ‘jauh hati’ dengan skuad The Bos Gaurus itu dipercayai kerana lebih kerap memanaskan bangku pemain simpanan musim ini.

Malah tindakan pemain kebangsaan itu yang hanya meninggalkan gambar ketika beraksi bersama pasukan negara dan kelab Thai League 1, Nakon Ratchasima FC selain dengan PKNP FC dua musim lalu, semakin menguatkan andaian tersebut.

Mengulas lanjut Ahmad Faizal berkata, Muhammad Shahrel Fikri merupakan antara pemain yang dikaguminya di dalam skuad The Bos Gaurus.

“Kalau saya pengurus pasukan, sudah tentu saya akan masukkan beliau sebagai pemain dan kontraknya yang akan tamat pada hujung tahun ini juga akan disambung.

“Bagaimanapun, sebagai Presiden Pafa, saya sentiasa menghormati keputusan yang dibuat oleh Exco dan Pengurus Pasukan. Ini kerana untuk memperkasa sesebuah pasukan, kita tidak boleh banyak kepala dan hormat kepada orang yang diberi tanggungjawab,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : UTUSAN ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*