Skuad baharu sedang ‘pancing’ Irfan, Ismail

KUALA TERENGGANU: Belum pun saingan Liga Malaysia (Liga M ) melabuhkan tirainya musim ini, proses memikat jurulatih untuk membawa cabaran pasukan masing-masing musim depan sudah pun bermula dengan beberapa nama besar mula diintai beberapa pasukan.

Antara nama besar yang dikatakan sedang ‘dipancing’ beberapa pasukan bagi mengharungi kancah liga musim depan termasuk bekas pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim dan jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria.

Irfan yang meletak jawatan mengejut sebagai ketua jurulatih TFC pada 15 Mei lalu susulan prestasi tidak konsisten skuad Terengganu dilaporkan sudah diintai skuad Kuala Lumpur sebagaimana yang tersebar dalam laman sosial baru-baru ini.

Manakala Ismail yang digelar pembvnuh pasukan ‘gergasi’ ketika membantu skuad Sime Darby FC mara ke final Piala FA pada 2012 sebelum muncul naib juara dikatakan diintai beberapa pasukan daripada Liga Super dan Liga Perdana.   

Bagaimanapun, Irfan yang membantu skuad Terengganu muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu menafikan dirinya sudah sah menjadi milik pasukan The City Boys itu musim depan.

“Tidak..Itu tidak benar, mungkin itu adalah andaian atau pandangan daripada sesetengah peminat bola sepak negara yang mengaitkan saya dengan pasukan Kuala Lumpur musim depan.

“Malah ada juga yang mengaitkan saya dengan pasukan Perak musim depan, itu tidak tepat. Terlalu awal untuk saya membuat keputusan pasukan mana yang bakal dibimbing musim depan,” kata jurulatih berpengalaman berasal dari Perak itu.

Sementara itu, Ismail yang membantu skuad The Lions Troops menjadi pencabar utama Liga Perdana musim ini selain membantu skuad itu mara ke saingan Piala Malaysia selepas berada di kedudukan kelima liga mengakui beliau ada diintai beberapa pasukan musim depan.

Bagaimanapun seperti Irfan, jurulatih berasal dari Setiu Terengganu itu menyatakan terlalu awal untuk memutuskan pasukan mana yang bakal dibimbingnya musim depan.

“Ya, saya ada mendapat tawaran daripada beberapa pasukan lain, perbincangan awal sudah diadakan tetapi ia terlalu awal untuk saya membuat keputusan.

“Ketika ini, saya masih membimbing skuad UiTM menghadapi Piala Malaysia, jadi saya mahu fokus kepada pasukan UiTM terlebih dahalu biarpun sudah tidak mempunyai peluang untuk layak ke suku akhir.

“Mungkin selepas berakhir saingan Piala Malaysia, baru saya akan fikirkan sama ada bakal berkhidmat dengan pasukan lain atau pun terus kekal membimbing pasukan UiTM yang mempunyai potensi untuk mencipta kejayaan yang lebih baik berbanding musim ini,” kata Ismail.

Sumber: BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*