FIFA sasar 700 juta pelajar sertai program di sekolah

PETALING JAYA: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mensasarkan penyertaan sebanyak 700 juta pelajar sekolah di seluruh dunia pada tiga tahun pertama Program Bola Sepak Untuk Sekolah, yang diperkenalkan awal tahun ini.

Pengurus Program Perkhidmatan Pembangunan Teknikal FIFA, Philips Zimmermann, berkata program itu bertujuan membolehkan permainan itu lebih mudah sampai kepada pelajar lelaki dan perempuan dengan memasukkannya ke dalam kurikulum pendidikan jasmani, sekali gus menyumbang kepada pendidikan, pembangunan dan pemerkasaan kanak-kanak.

“Kami juga akan menyediakan aplikasi mudah alih kepada semua 211 ahli, yang kandungannya bukan sahaja mengenai bola sepak, tetapi juga kemahiran hidup. Malah melalui aplikasi itu, guru-guru tanpa latar belakang pendidikan jasmani juga, dengan mudah boleh memahami pelaksanaan program itu.

“Melalui kerja sama Adidas, 11 juta biji bola, akan diedarkan kepada semua ahli kami dalam tempoh tiga tahun setengah dan 10 peratus daripada bola-bola itu akan diedarkan di rantau Asia,” katanya kepada pemberita di bengkel berkaitan program itu yang dirasmikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal di sini hari ini.

Program sehari itu disertai 30 wakil daripada 12 negara ASEAN, Majlis Sukan Negara dan Kementerian Pendidikan.

Pelaksanaan program ini bermula selepas perjanjian yang ditandatangani antara Presiden FIFA, Gianni Infantino; Ketua Pengarah UNESCO Audrey Azoulay dan Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa Bersatu David Beasley, di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, awal tahun ini.

 

Sumber: BERNAMA via BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*