Chanturu sah tinggalkan FELDA United

KUANTAN: FELDA United FC terpaksa akur terlepas khidmat pemain berpengalaman, S Chanturu apabila perancang itu memutuskan tidak akan bersama kelab berkenaan lagi bagi menghadapi saingan musim depan.

Ketiadaan Chanturu sudah pasti memberi impak terutama jentera tengah skuad The Fighters selepas kehilangan beberapa pemain yang memilih pasukan baharu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M). Destinasi pasukan baharu Chanturu bagaimanapun belum dipastikan.

Namun, pengendali kelab itu, Mohd Nidzam Jamil percaya pasukan bimbingannya tetap mampu untuk mengimbangi ketiadaan pemain berpengalaman dengan kehadiran pemain import.

“Ketiadaan mereka sememangnya memberi kesan dalam mempersiapkan pasukan mengharungi cabaran ge tir dalam saingan Liga M musim depan.

“Tapi saya percaya dengan menyandarkan pemain sedia ada termasuk Jasazrin Jamaluddin yang juga pemain senior diharap membantu memperkasakan The Fighters,” katanya di sini, semalam.

Sebelum ini, empat pemain membuat keputusan meninggalkan kelab itu ialah Hadin Azman yang juga kapten pasukan musim ini, selain Christie Jayaseelan, Arif Fadzillah Abu Bakar dan Norazlan Razali.

Setakat ini, Hadin sudah mengesahkan pasukan baharunya adalah Kedah manakala Arif Fadzillah Terengganu FC (TFC), Norazlan (Melaka United) dan Christie (PJ City FC).

Bagi menghadapi saingan Liga M musim depan, FELDA United mengesahkan empat pemain import menyertai mereka iaitu Khairul Amri Kamal dari Singapura, Ryutaro Megumi (Jepun), Nicholas Velez (Argentina) dan Nikola Raspopovic (Serbia).

 

Sumber: BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*