Tanda harga pemain AMD, Teong Kim kata ‘no’

KEPUTUSAN Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengenakan ‘tanda harga’ kepada pemain-pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mengundang pelbagai reaksi.

Turut memberi reaksi mengenai keputusan MSN adalah bekas Pengarah AMD, Lim Teong Kim.

Teong Kim dan AMD sememangnya tidak asing sebelum ini yang mana beliau sentiasa lantang bersuara mengenai pembangunan bolasepak tempatan.

Biarpun sudah tidak mempunyai kaitan lagi dengan AMD selepas kontraknya berakhir Oktober lalu, Teong Kim tetap mengikuti perkembangan akademi bolasepak negara ini.

Menurut Teong Kim, merancang untuk memperkenalkan tanda harga kepada pemain-pemain muda adalah sesuatu yang wajar, tetapi bukan di akademi bolasepak negara.

“Kita perlu ingat bahawa AMD adalah sebuah akademi yang diuruskan oleh MSN. Duit yang MSN dapat itu adalah daripada kerajaan. Dan kerajaan mendapat duit itu daripada rakyat.

“Mengapa sekarang baru merancang untuk berbuat demikian? Sepatutnya sebelum ini lagi sudah digariskan dalam SOP (Prosedur Operasi Standard).

 

 

Ahmad Shapawi bakal melaksanakan tanda harga untuk pemain-pemain AMD.

 

“Tetapi kalau pemain-pemain muda ini berlatih bersama sesebuah kelab, tanda harga ini memang patut dibuat, seperti yang berlaku di kelab-kelab Eropah.

“Sebab itulah semua negeri perlu ada akademi sendiri jika ingin ‘menjual pemain’,” jelasnya ketika dihubungi mStar.

Tambah Teong Kim yang kini menetap di Munich, Jerman, perancangan ini dianggap sesuatu yang tidak betul dalam bolasepak negara.

“Kalau pergi ke Fifa (Persekutuan BolaSepak Antarabangsa) sekali pun, ia memang tidak boleh kerana MSN adalah sebuah badan kerajaan bukan pertubuhan bolasepak profesional.

“Sekarang ini AMD sudah membuktikan ramai pemain muda yang bagus dilahirkan, jadi sudah tentu banyak kelab yang berminat.

“Satu masalah akan timbul apabila MSN meletak tanda harga ini dan kelab-kelab negeri seperti JDT (Johor Darul Ta’zim) atau Selangor tidak mahu membeli mereka. Apa akan jadi kepada pemain-pemain ini? Adakah MSN akan menubuhkan sebuah pasukan (pemain AMD) untuk bermain dalam Liga Malaysia?

 

 

Teong Kim mendakwa MSN tidak ada hak untuk mengutip bayaran pampasan daripada pemain AMD.

 

“Kita sendiri semua maklum beberapa kelab mengalami masalah pembayaran gaji pemain, macam mana pula mereka nak keluarkan wang untuk membeli pemain-pemain AMD?

“Kebenarannya adalah MSN tidak ada hak untuk menuntut wang kerana mereka bukan kelab profesional,” ujarnya.

Ahad lalu Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan mana-mana kelab bolasepak yang berminat mendapatkan khidmat pelatih AMD akan dikenakan ‘tanda harga’ sebagai insentif dalam bentuk pampasan kepada akademi berkenaan.

Perkembangan itu mendapat pelbagai reaksi, khususnya pasukan yang berhasrat mendapatkan pelatih AMD apabila perlu membayar pampasan bermula serendah AS$2,000 (RM8,280) untuk satu-satu pemain selaras dengan garis panduan ditetapkan oleh Fifa.

Sebagai rekod, pasukan Selangor mengikat 28 pemain , manakala JDT berjaya mendapatkan khidmat enam pemain AMD selepas kelompok pertama pemain menamatkan latihan Oktober lalu.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*