[VIDEO] Marquez Kecundang Di Texas, Hafizh Semakin Jauh Di Belakang

Perlumbaan MotoGP pusingan ketiga yang berlangsung di Austin, Texas menyaksikan kejutan apabila bekas juara dunia musim lepas dan pemenang perlumbaan di GP Argentina dua minggu lalu, Marc Marquez gagal untuk menamatkan perlumbaan selepas terjatvh ketika berada di pusingan ke 15 walaupun sedang mendahului perlumbaan yang berlangsung pada pagi Isnin.

Rakan sepasukan Marquez di Repsol Honda, Jorge Lorenzo juga gagal untuk menamatkan perlumbaan selepas jentera Honda RC 213 V miliknya mengalami mas4lah sekaligus menamatkan harapan beliau untuk menaiki podium buat kali pertama bersama Honda.

Saingan kali ini juga sudah pastinya ingin dilupakan oleh Honda apabila seorang lagi pelumba mereka, Cal Crutchlow turut gagal menamatkan perlumbaan selepas 15 pusingan dan menyaksikan Taka Nakaagami sahaja yang berjaya menamatkan perlumbaan kali ini di kedudukan ke 10.

Nasib berbeza pula dialami oleh Valentino Rossi dan Yamaha apabila pelumba berusia 40 tahun itu berjaya menaiki podium buat kali kedua berturut-turut dalam perlumbaan kali ini apabila menamatkan perlumbaan di belakang pemenang GP Amerika Syarikat kali ini dari Suzuki, Alex Rins.

 

Ducati juga turut mempunyai wakil untuk berada di podium kali ini apabila pelumba pasukan Pramac Racing, Jack Miller berjaya untuk mengatasi dua lagi pelumba pasukan Mission Winnow Ducati, Andrea Dovizioso dan Danilo Petrucci.

 

Wakil pasukan dari Malaysia, Petronas Yamaha SRT juga boleh menarik nafas lega kali ini apabila dua pelumba mereka, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo berjaya untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 pelumba terbaik.

 

Walaubagaimanapun, hasrat peminat sukan permotoran Malaysia untuk melihat wakil tunggal negara dalam saingan kelas premier MotoGP, Hafizh Syahrin untuk mengutip mata pertamanya musim ini terpaksa menunggu lebih lama apabila pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan terakhir di Amerika Syarikat.

 

Seorang lagi pelumba Malaysia yang beraksi dalam saingan Moto2, Khairul Idham Pawi juga turut terlepas peluang untuk mengutip mata dalam perlumbaan kali ini apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke 17.

 

Foto Kredit: MotoGP

 

Sumber: FoxSports

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*