Emery beri bayangan ‘singkir’ beberapa pemain

BAKU: Arsenal mungkin mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa pemain dalam usaha pengurus, Unai Emery membina semula pasukannya susulan kekalahan 4-1 kepada Chelsea di final Liga Europa, awal pagi tadi.

Jaringan pada babak kedua daripada Olivier Giroud, Pedro dan dua gol Eden Hazard memastikan Arsenal gagal untuk memenangi perlawanan keempat final Eropah secara berturut-turut.

Emery berkata skuad kendaliannya, yang menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kelima masih dalam ‘proses’ pembikinan dan beliau akan menilai pilihannya pada musim panas ini.

“Kami perlu bercakap dengan kelab, bercakap dengan pemain, dan membuat satu lagi langkah dalam perjalanan kami,” kata Emery. “Tetapi idea kami adalah untuk terus meningkat dengan pemain-pemain muda yang tiba tahun lalu.

“Mungkin beberapa pemain perlu pergi, mengambil jalan baharu. Kami semakin hampir dengan pasukan lain. Ketika ini, ia tidak mencukupi tetapi kami boleh meneruskannya dengan pasukan yang sama pada tahun depan. 

“Pemain lain akan datang dan membantu kami untuk menjadi lebih baik dan meningkatkan kapasiti kami.”

Kekalahan bermakna Arsenal gagal layak beraksi di Liga Juara-Juara musim depan buat musim ketiga berturut-turut tetapi Emery berkata satu lagi aksi di pentas Europa tidak menghalang pemain yang menjadi sasaran untuk datang ke kelab itu.

“Saya fikir Arsenal adalah nama besar dalam dunia bola sepak, dan ramai pemain mahu bermain di sini,” kata Emery. “Perpindahan, saya tidak tahu. Tetapi kelab ini sedang berusaha untuk meningkat dan melakukan apa saja yang diperlukan. Dan kami turut mempunyai pemain yang memiliki potensi meningkat.”

Emery turut mengakui Chelsea layak menjulang trofi Liga Europa.

“Kami cuba untuk berada dalam permainan tetapi gol kedua mereka memberi kami kesukaran,” kata pengendali dari Sepanyol itu. “Ia menjadi lebih baik buat mereka ketika kami mahu melakukan sesuatu yang berbeza, kami tidak mencari apa yang diperlukan untuk menjaring gol.”

 

 

Sumber: REUTERS via BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*