Mustahil Liverpool dapat julang trofi tanpa Klopp – Jordan Henderson

MADRID: Jordan Henderson mend4kwa ‘mustahil’ Liverpool dapat menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini tanpa kehadiran Jurgen Klopp di kelab Merseyside itu.

Liverpool mengesahkan gelaran Liga Juara-Juara/Piala Eropah keenam dengan kemenangan 2-0 menewaskan Tottenham Hotspur di Stadium Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.

Selepas tersekat di peringkat sama 12 bulan lalu, selain turut kecewa di final Liga Europa dan Piala Liga sebelum ini, Liverpool perlu bersabar untuk menjulang gelaran utama di bawah kendalian Klopp.

Satu lagi kekecewaan diperoleh apabila mereka hanya dibezakan dengan jurang cukup tipis dengan juara, Manchester City dalam kancah Liga Perdana musim ini sebelum bangkit melakar kejayaan di pentas Eropah.

Sejak tiba di Anfield pada Oktober 2015, Klopp dianggap sebagai perancang utama peningkatan Reds dan Henderson yang juga kapten pasukan memuji pengaruh yang dibawa pengendali dari Jerman itu.

“Tanpa pengurus ini (Klopp) ia mustahil,” kata Henderson. “Kamu mengharungi tempoh yang sukar dalam semusim, tetapi apa yang beliau sudah lakukan sejak tiba menakjubkan. Ada kerjasama yang hebat, beliau mencipta suasana bilik persalinan yang hebat, segala pujian kepada pengurus.”

Selepas kelibatnya sering dipandang rendah sebelum ini, Henderson yang juga pemain kebangsaan England berkata kemampuan untuk memenangi Liga Juara-Juara membuktikan kualiti yang dimilikinya.

Sekalipun jaringan Mohamed Salah dan Divock Origi membuatkan Spurs gigit jari, pemain berusia 28 tahun itu berkata kejayaan berkenaan adalah disebabkan oleh usaha keras keseluruhan pasukan.

“Saya amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada kelab ini dan memakai lilitan kapten, jadi ia amat istimewa buat saya,” katanya. “Saya cuba untuk memberikan yang terbaik setiap kali saya bermain dan cuba untuk membantu pasukan tanpa sebarang alasan. 

“Saya berdepan masa yang sukar tetapi saya tetap meneruskannya, seperti yang kelab lakukan. Ia adalah tempoh terbaik dalam hidup saya, inilah yang saya impikan sejak kecil.

“Ia bukan mengenai saya, ia bukan mengenai menjadi kapten dan menjulang trofi, ini adalah mengenai kelab, pemain-pemain ini dan pengurus. Kini kami akan meneruskannya dan terus berusaha.”

 

Sumber:  AGENSI via BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*