De Bruyne sedia jadi kapten Manchester City

NANJING, China: Kevin De Bruyne dengan rasa ‘bangga’ sedia menerima lilitan kapten Manchester City sekiranya rakan sepasukan sebulat suara memilihnya untuk menggantikan Vincent Kompany.

City kini tanpa kapten sejak Kompany menyertai kelab lamanya, Anderlecht pada hujung musim lalu dan setakat ini Pep Guardiola belum menentukan calon mengisi posisi itu.

Dalam aksi persahabatan jelajah pra musim semalam, De Bruyne dimasukkan sebagai pemain gantian dan menyumbat gol terakhir ketika City meratah West Ham 4-1.

Dalam pada itu, Pep Guardiola mengesahkan akan memilih kapten selepas tamat mengharungi jelajah pra musim di China.

De Bruyne mengakui dia sanggup menerima tanggungjawab itu jika diberikan kepercayaan.

“Jika pasukan mahukan saya sebagai kapten, saya dengan bangga akan menerimanya,” kata De Bruyne.

“Tapi sebagai sebuah kelab dan pasukan, saya rasa semua orang perlu diajak berbincang mengenainya. Ia akan dibincangkan apabila semua pihak berkumpul.

“Saya fikir kita perlu lakukannya secara muafakat kerana ini ialah tanggungjawab yang penting, bukan setakat di atas padang, malah lebih daripada itu.”

De Bruyne dalam pada itu memuji prestasi dua pemain baru City, Tommy Doyle dan Taylor Harwood-Bellis dari akademi City yang buat pertama kali diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama di Nanjing.

“Jika kamu sebagai pemain muda dapat memberi sepenuh tumpuan kepada salah satu kelab terbaik di dunia, kamu dikecualikan.

“Saya bermula di Belgium, tahap bola sepak tidak sama di sini (England). Ia mungkin mudah diserap ke kesebelasan utama. Jika kamu benar-benar mahu beraksi dengan kami, kamu perlu tahu tahap sebenar yang perlu ditampilkan untuk terpilih.

“Saya fikir mereka melakukan tugasan dengan baik sekali dan saya sangat gembira melihat mereka. Detik terbaik bagi mereka memulakan aksi pertama untuk kelab bersama kami.”

City akan meneruskan jelajah mereka dengan menentang Wolves dalam perlawanan terakhir cabaran Trofi Liga Perdana Asia, Sabtu ini. 

 

Sumber: Agensi via  BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*