Saya tak peduli, menang tetap menang – Lee Zii Jia

MANILA: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak peduli dengan persepsi yang mengatakan kejayaannya meraih pingat emas Sukan SEA 2019 adalah disebabkan ketiadaan dua jaguh Asia Tenggara dari Indonesia, Jonatan Christie dan Anthony Sinisuka Ginting.

Sebaliknya, pemain berusia 21 tahun itu menegaskan kejayaan itu pencapaian besar buat dirinya dan tidak kira apa jua situasi namanya tetap direkodkan sebagai pemenang emas Sukan SEA 2019.

“Menang tetap menang. Orang tidak akan fikir siapa (pemain) datang atau tidak. Yang paling penting nama saya akan yang direkodkan sebagai pemenang Sukan SEA 2019,” kata Zii Jia ketika ditemui selepas tamat aksi final sebentar tadi.

Pada aksi final di Kompleks Sukan Muntinlupa, hari ini, Zii Jia mempamerkan prestasi sempurna apabila menumbangkan pemain Singapura, Loh Kean Yew 21-18, 21-18 untuk meraih emas.

Jonatan dan Ginting yang beraksi dalam acara berpasukan tidak mengambil bahagian bagi saingan individu untuk memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou, China bermula esok.

Kejayaan Zii Jia kali ini menamatkan kemarau empat tahun Malaysia selepas kali terakhir memenangi emas perseorangan lelaki menerusi Chong Wei Feng pada edisi 2015 di Kuala Lumpur.

“Ini adalah kejayaan yang penting untuk kerjaya saya. Selain Sukan Olimpik dan Sukan Asia, Sukan SEA adalah ketiga terbesar. Saya sangat gembira dapat emas.

“Ini adalah kejohanan terakhir tahun ini. Selepas menang tadi semua tekanan sudah hilang dan apa yang bermain dalam fikiran saya adalah mahu pergi bercuti saja,” katanya yang meraikan kejayaan dengan membaling jersi dan raket kepada penonton.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita, S Kisona mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk memenangi emas menerusi kemenangan ke atas Ruselli Hartawan dari Indonesia 20-22, 21-14, 21-13.

Kisona, 21, yang menjadi sandaran skuad negara selepas ketiadaan pemain utama, Soniia Cheah nyata tidak mengecewakan sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi rakan sepasukan, Goh Jin Wei pada edisi dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

“Saya memang tidak fikir banyak kerana saya hanya mahu bermain mat1-mat1an. Saya tidak mahu putus asa dan balas setiap puku1an lawn.

“Saya perlu ucapkan terima kepada jurulatih dan pengurusan kerana percaya kepada saya. Biarpun saya tidak diletakkan sandaran tetapi mereka tetap mahu saya berikan yang terbaik,” kata Kisona yang menyifatkan ini adalah kejayaan terbesar dalam kerjayanya.

Terdahulu, dalam aksi final beregu campuran, nasib tidak menyebelahi pasangan negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie apabila terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Mereka tewas di tangan pilihan pertama dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia 19-21, 21-19, 21-23.

 

Sumber: BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*