Messi mahu Barca bawa pulang Neymar

MADRID: Lionel Messi memberitahu Barcelona dia mahu kelab itu mendapatkan semula Neymar dari Paris Saint-Germain (PSG) musim panas ini, menurut laporan media di Sepanyol.

Penyer4ng bintang Brazil itu bermain untuk gergasi La Liga itu di antara musim 2013 hingga 2017 sebelum melengkapkan perpindahan memecah rekod dunia €222 juta (RM1.4 bilion) ke Perancis.

Sekali pun mengharungi dua musim penuh kejayaan di Paris, pemain berusia 27 tahun itu kuat dikaitkan dengan perpindahan semula ke Sepanyol, dengan Barca dan seteru utama Real Madrid dilaporkan berminat.

Akhbar El Mundo mendakwa kapten Barcelona, Messi meminta presiden kelab, Josep Maria Bartomeu untuk membawa pulang Neymar ke Nou Camp.

Laporan itu turut menambah kelab Catalan itu akan melihat kepada perjanjian pra-kontrak perpindahan membabitkan Antoine Griezmann  ke PSG sebagai usaha mendapatkan pemain berkenaan.

Griezmann sudah menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan Atletico Madrid musim panas ini dengan Barca dijangka melengkapkan perjanjian itu pada bulan depan ketika klausa perpindahannya menurun daripada €200 juta (RM1.4 bilion) kepada €120 juta (RM561 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif Atletico, Gil Marin pada minggu lalu mendakwa pemain berusia 28 tahun itu sudah mencapai persetujuan dengan Barca sejak Mac lalu.

Justeru, difahamkan cubaan Barcelona untuk menandatangani semula Neymar bergantung kepada persetujuan pemain kebangsaan Perancis itu untuk kembali ke negara kelahirannya.

Sekali pun PSG dikatakan enggan melepaskan Neymar, akhbar L’Equipe baru-baru ini melaporkan kelab itu bersedia untuk mendengar tawaran buat pemain kontroversi itu dan ia dikuatkan dengan kenyataan presidennya, Nasser Al-Khelifi yang mahu melihat barisan bintangnya memberikan lebih komitmen kepada kelab.

 

 

Sumber: AGENSI via BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*