Hafizh Silap Jangkaan di GP Amerika Syarikat

Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin mengakui beliau tidak melalui pusingan kelayakan perlumbaan Grand Prix America seperti mana yang dijangkakan terlebih awal.

Menurut Hafizh, selepas melalui sesi latihan bebas yang sangat baik bersama jentera KTM miliknya pada Sabtu dan turut menggunakan pelarasan yang sama untuk pusingan kelayakan pada Ahad, dia mengakui sedikit bingung selepas mengalami kesukaran untuk mengendalikan motosikalnya.

“Secara jujurnya saya sedikit kecewa kerana kami menjangkakan untuk memperbaiki catatan masa dengan lebih baik.

“Bermula di petak ke 21 bukanlah apa yang saya hajati tetapi kami akan cuba untuk melakukan lebih lagi pada hari perlumbaan.

Dalam sesi kelayakan yang berlangsung pada pagi Ahad, Hafizh yang menunggang jentera KTM RC16 miliknya hanya mencatatkan masa sepusingan 2 minit 07. 308 saat untuk mengesahkan tempat ke 21 di petak permulaan dalam perlumbaan esok.

Rakan sepasukan Hafizh di Tech 3 dan juga ‘rookie’ musim ini, Miguel Oliveira akan bermula satu barisan di hadapan beliau manakala bekas rakan sepasukan lamanya di Tech 3 yang kini turut menggunakan jentera KTM yang sama, Johann Zarco pula akan bersama-sama Hafizh di barisan ketujuh.

Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez akan memulakan perlumbaan di ‘Pole Position’ dan bakal diiringi oleh Valentino Rossi (Yamaha) dan Cal Crutchlow (Honda) di barisan paling hadapan esok.

Untuk rekod, pada perlumbaan di Circuit of The Americas pada musim lalu, Hafizh yang ketika itu menggunakan jentera Yamaha M1 gagal untuk menamatkan perlumbaan selepas keluar melakukan 12 pusingan walaupun bermula di kedudukan ke 16.

Perlumbaan ketiga saingan MotoGP musim ini yang berlangsung di Circuit of The Americas, Amerika Syarikat itu dijadualkan berlangsung pada awal pagi Isnin dengan perlumbaan Moto3 bakal membuka tirai seawal jam 12 pagi, diikuti Moto2 pada 1.20 pagi dan MotoGP pada jam 3 pagi waktu Malaysia.

Foto Kredit: Red Bull KTM Tech3

Sumber: FoxSports

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*