Pahang terus kejar JDT

SHAH ALAM: Pahang terus membuatkan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak senang duduk apabila bangkit menundukkan PKNS FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan ke atas skuad Semut Merah itu menyaksikan skuad Tok Gajah hanya ketinggalan dua mata di belakang JDT sekali gus membolehkan mereka terus memberi tekanan bagi perebutan takhta Liga Super musim ini.

Malah, Pahang terus gah apabila belum lagi merasai kekalahan dalam sembilan perlawanan setakat ini, berkongsi rekod terbabit bersama skuad Harimau Selatan.

Pada aksi terbabit, Pahang bermula garang apabila beberapa percubaan dilakukan ke kubu pertahanan PKNS FC bermula dengan sepakan percuma yang ditepis Mohd Zarif Irfan Hashimuddin pada minit ke-10 dan tandukan Herold Goulon dua minit berselang.

Bagaimanapun, sejurus Zarif menangkap tandukan Goulon, dia pantas menghantar bola kepada Kpah Sherman yang membuat larian solo daripada kawasan sendiri dan melorongkan bola kepada Chan Vathanaka yang menyudahkan serangan balas pantas itu dengan menewaskan Helmi Eliza Elias untuk gol pembukaan perlawanan pada minit ke-13.

Selepas beberapa kali mengancam PKNS FC, Pahang akhirnya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-24 apabila hantaran lintang Mohamadou Sumareh disudahkan Dickson Nwakaeme daripada jarak dekat sekali gus menjadikan kedudukan 1-1.

Pelawat beroleh peluang untuk mendahului permainan di penghujung separuh masa pertama namun Mohd Zarif cemerlang menepis keluar rembatan deras Jose Eduardo de Almeida sekali gus memaksa kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat babak pertama.

Pahang hampir menyentak PKNS FC pada awal babak pertama namun tuan rumah dapat menarik nafas lega apabila percubaan Safuwan Baharudin menggegar tiang kanan gol pada minit ke-46 sebelum beberapa hantaran yang dilakukan ke dalam kotak penalti gagal disudahkan untuk menambah gol.

Bagaimanapun, Pahang melengkapkan kebangkitan apabila Jose Eduardo memanfaatkan keadaan kelam kabut di hadapan gol untuk menyumbat gol kedua pada minit ke-75 yang akhirnya menjadi gol kemenangan buat pelawat.

 

Sumber: BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*