L0ntaran jauh Anwar Ibrahim bawa tuah

KUANTAN: Pemain pertahanan FELDA United FC, Anwar Ibrahim tidak menduga kelebihan melakukan lontaran lontaran jauh ke dalam kawasan kotak penalti membantu rakan sepasukan menjaringkan gol.

Setakat ini, lontaran jauh oleh bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu sudah menghasilkan dua gol – pada pusingan kedua dan ketiga Piala FA ketika menewaskan Kuching FA 1-0 dan Selangor 2-1.

“Sebenarnya, teknik lontaran jauh ini sudah dipraktikkan sejak di SSBJ lagi sebelum menyertai skuad Piala Presiden dan skuad utama FELDA United,” kata Anwar.

“Ternyata latihan lontaran yang dilakukan dua hari sebelum perlawanan membantu meningkatkan lagi teknik lontaran yang lebih tepat.

“Sebagai pemain muda, saya berterima kasih kepada jurulatih (Mohd Nidzam Jamil) kerana memberi peluang bermain kerana apabila kami mendapat lontaran, kebiasannya saya akan mengambilnya dan rakan sudah bersedia berada di dalam kotak penalti.”

Pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA bertemu Selangor kelmarin, lontaran Anwar ke dalam kotak penalti ditanduk Thiago Aquino untuk menyamakan kedudukan 1-1 sebelum Hadin Azman mengesahkan kelab itu menang 2-1 ke atas Selangor.

Lontaran yang sama turut membantu menghasilkan gol pada pusingan kedua Piala FA ketika mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kuching FA yang dijaringkan S Chanturu.

Ditanya peluang berada dalam kesebelasan utama apabila The Fighters bertemu Terengganu TF (TFC) malam esok, Anwar menyerahkannya kepada jurulatih untuk membuat keputusan.

“Jika diberikan peluang, saya akan memberikan komitmen tinggi untuk memastikan The Fighters tidak pulang hampa.

“Dengan prestasi positif yang dipersembahkan ketika ini terutama layak ke suku akhir Piala FA, kami akan berusaha dan memberi tekanan kepada skuad Penyu,” kata pemain berumur 20 tahun itu.

VIDEO:

Kredit: MSuper League

Sumber: BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*