Silva makin teruja

LONDON: Pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva berkata dia mengalu-alukan tekanan daripada pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu dijadual berdepan seteru tetangga Manchester United di Old Trafford, Khamis ini yang dianggap sebagai cabaran terbesar kelab itu bagi mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu.

“Perlawanan tetangga sentiasa sukar, sentiasa perlawanan yang lebih beremosi,” kata Silva. “Ia istimewa kepada peminat dan kami turut dapat merasainya. 

“Saya tidak sabar untuk mengharunginya, pemain paling menikmati perlawanan seperti ini. Semua perlawanan penting, tetapi perlawanan yang besar menentang pasukan terbaik sentiasa perlawanan yang terbaik untuk disertai.”

City mengatasi kedukaan penyingkiran di kancah Liga Juara-Juara kepada Tottenham Hotspur, pertengahan minggu ini apabila kembali ke puncak Liga Perdana selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas kelab sama, semalam.

Dengan pencabar utama Liverpool dijadual beraksi pada malam ini, keputusan menyaksikan City mempunyai kelebihan satu mata di puncak liga berbaki empat perlawanan.

“Ia satu lagi perlawanan yang besar dan kami tahu kami perlu menang kerana Liverpool mungkin menang kesemua baki perlawanan mereka dalam Liga Perdana,” kata Silva.

“Kami hanya boleh bergantung kepada diri kami tetapi mereka bergantung kepada kami dan kami akan cuba untuk mengekalkannya seperti itu.”

 

Sumber: Reuters via BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*