Selangor bawa misi lebur rekod gah JDT di Larkin

Pertembungan antara pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dan juga Selangor pada Rabu ini di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin bakal menjadi tumpuan atas beberapa sebab.

Kemenangan buat JDT akan menyaksikan mereka semakin hampir mendakap trofi Liga Super buat musim keenam berturut-turut – skuad Harimau Selatan ketika ini memiliki kelebihan 13 mata di tangga teratas mengatasi Pahang dan secara matematik tiga sahaja lagi kemenangan diperlukan daripada baki enam aksi untuk mengesahkan kejuaraan.

Kemenangan buat Selangor pula akan menyaksikan mereka mengukuhkan peluang untuk memintas Pahang dan menamatkan musim di tempat kedua, yang turut menjadi buruan Kedah, Melaka, Perak dan Terengganu FC.

JDT bimbingan Benjamin Mora juga ketika ini memegang rekod gah tidak pernah tewas dalam 35 perlawanan terakhir Liga Super sejak Februari 2018 dan lebih menarik, mereka menang kesemua 27 perlawanan terakhir Liga Super di laman sendiri.

Ironinya, Selangor adalah pasukan terakhir pernah mencuri mata di Larkin apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada 11 Februari 2017. Sejak itu, tidak pernah ada pasukan yang berjaya untuk membawa pulang walau sekurang-kurangnya satu mata dari sana.

Dapatkah Red Giants bimbingan B.Sathianathan yang tewas hanya sekali dalam 11 perlawanan terakhir liga mengulangi pencapaian tersebut sekaligus menoktahkan rekod sempurna JDT di Larkin sejak dua tahun lalu dan melengahkan pesta bunga api mereka?

Bagi Sathianathan, dia mengakui keampuhan JDT yang ibarat bermain dengan semangat luar biasa di hadapan penyokong sendiri, tetapi dia tidak mahu pemainnya turun dengan mentaliti tidak boleh menang di Larkin.

“Kita tewas sebelum bermain jika kita fikir tentang kekebalan Larkin, tentang susahnya nak dapat mata dari sana. Kita tahu mereka kuat, jadi apa yang perlu kita buat? Sifirnya adalah mudah, jangan takvt (untuk pegang bola), jangan gentar, jangan hilang keyakinan diri.

“Lawan JDT, kita tidak boleh bermain defensif atau ‘parking bus’, ia akan makan diri. Adalah penting untuk kita bermain menyer4ng, manfaatkan penguasaan bola, bermain pada sepenuh potensi.

“Kurangkan kesilapan budak sekolah, tidak mustahil kita boleh dapatkan keputusan positif. Kita sedang mengharungi prestasi baik, duduk nombor tiga walaupun orang kata kita tak cukup bagus, dan kita mahu meneruskan prestasi ini, capai kedudukan terbaik di akhir musim,” kata Sathianathan kepada Foxsports.

Selangor ketika ini di tangga ketiga dengan 25 mata, dua mata di belakang Pahang dan dua mata mengatasi Kedah serta Melaka United yang menduduki tangga keempat dan kelima masing-masing.

 

Foto : Selangor FA Official

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : FoxSports 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*