Guardiola lelong baju panas kelabu yang dipakainya

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengumpul lebih AS$7,530 dolar (RM31,375) bagi Komuniti Amal dengan melelong baju panas kelabu yang dipakainya ketika menjuarai tiga gelaran, musim lalu.

Pengendali dari Sepanyol itu sejurus kemenangan 6-0 terhadap Watford di final Piala FA bulan lalu berkata dia akan menyerahkan baju berkenaan untuk mengumpul wang bagi acara amal.

City berkata baju berkenaan dibeli oleh peminat kelab itu bernama James Hodge di Amerika Syarikat dan dana berkenaan akan digunakan untuk menyediakan makanan percuma untuk keluarga-keluarga di Manchester ketika cuti persekolahan.

“Saya gembira yang lelongan ini benar-benar membantu City dalam Komuniti Amal dan terima kasih kepada kamu semua yang memberi sumbangan bagi tujuan yang amat hebat ini,” kata Guardiola dalam laman web kelab.

“Perkara yang menakjubkan untuk berpeluang memberi barangan peribadi kepada peminat yang menyokong dan membantu kami mencapai kejayaan yang menakjubkan musim lalu.”

Skuad kendalian Guardiola menjadi pasukan pertama untuk memenangi gelaran treble Inggeris selepas menjulang trofi Liga Perdana, Piala Liga dan Piala FA musim lalu.

City akan memulakan kempen Liga Perdana musim 2019-20 di gelanggang West Ham pada 10 Ogos depan.

 

Sumber: REUTERS via BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*