Pemain senior timba pengalaman ke dalam skuad Sukan SEA Filipina 2019

Selepas 18 tahun acara bolasepak di Sukan SEA dihadkan kepada pemain-pemain berusia bawah 23 tahun, temasya di Filipina tahun ini bakal menyaksikan perubahan format dengan setiap pasukan boleh mendaftarkan dua pemain lebih umur.

Perubahan itu telahpun diluluskan Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) pada bulan Mac lalu dan rata-rata pasukan dilihat menyambut baik langkah itu dengan berpendapat kehadiran pemain senior boleh menyuntik lebih pengalaman ke dalam skuad, termasuklah Malaysia sendiri.

“Ia sama seperti format digunapakai di temasya Sukan Asia mahupun Sukan Olimpik, yang mana kita tengok setiap pasukan boleh senaraikan sehingga tiga pemain senior. Jadi bagi FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), ia bukan satu isu dan kita memberikan sokongan penuh.

“Adanya pemain senior seorang atau dua, mereka boleh menambah lebih pengalaman ke dalam skuad dan membimbing pemain-pemain muda. Tetapi menyenaraikan pemain senior bukan benda wajib, kita serahkan sepenuhnya kepada jurulatih (Dato’ Ong Kim Swee), beliau lebih tahu, ada keperluan atau tidak untuk senaraikan pemain lebih umur,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Sebagai rekod, ketika di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang pada tahun lalu, Kim Swee telah menyenaraikan Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali sebagai dua pemain lebih umur di dalam skuad manakala empat tahun sebelumnya beliau menyenaraikan tiga pemain iaitu Brendan Gan, Norfarhan Muhammad dan Aidil Zafuan Abd Radzak.

Bagaimanapun untuk temasya Sukan SEA Filipina 2019 yang akan bermula pada hujung November, belum ada kepastian jika Kim Swee memerlukan tenaga pemain lebih umur atau akan menaruh kepercayaan seratus peratus kepada pemain berusia bawah 23 tahun.

Malaysia membawa misi merampas semula pingat emas yang kali terakhir dimenangi pada 2011 dengan menewaskan Indonesia menerusi sepakan penalti.

Pada edisi 2017, skuad Kim Swee begitu hampir melakukannya namun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak setelah dikecewakan Thailand 0-1 pada perlawanan akhir.

 

Foto : Bernama

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : FoxSports

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*