‘Syukur kepada Tuhan, kami juara’

SHAH ALAM – Sabah menamatkan penantian 23 tahun tanpa sebarang piala apabila dinobatkan sebagai juara Liga Perdana 2019 biarpun berbaki empat perlawanan selepas menumbangkan UiTM FC 2-1 di Shah Alam sebentar tadi.

Dalam saingan yang berlangsung di Stadium UiTM itu, tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Zarko Korac pada minit ke-31.

Skuad Tembadau kemudian menyamakan kedudukan apabila Rodoljub Paunovic menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-58, sebelum Mendes Aguinaldo menjaringkan gol kemenangan sembilan minit kemudian.

Pasukan bimbingan Jelius Ating itu juga bakal bersaing semula di Liga Super musim depan selepas 14 tahun.

“Pertama saya mengucapkan syukur kepada Tuhan atas kemenangan kami kali ini. Kemenangan kami kali ini bukan satu kemenangan yang mudah. Ini kerana apabila ketinggalan dengan satu gol dan kita lihat UiTM cuba bermain dengan ‘smart’ sebenarnya.

“Mereka cuba memperlahankan (bertahan) dan bermain dengan selamat dan akhirnya mendapat satu gol. Itu seakan-akan memberikan satu kesukaran kepada kami untuk mencapai misi kami hari ini.

“Bagaimanapun kami berterima kasih kepada Mendes dan Rodoljub, termasuk semua pemain kerana mereka bekerja keras walaupun ketinggalan. Bagi saya perlawanan malam ini agak dramatik. UiTM bukan satu pasukan yang mudah sebenarnya.

“Mereka mempunyai pemain yang bagus walaupun mereka dalam kalangan pelajar-pelajar tetapi permainannya lincah sebab dalam bola sepak bukan hanya bakat dan teknik, malah kebijaksanaan juga berperanan penting,” kata Jelius selepas tamat perlawanan.

Dalam perkembangan lain, Negeri Sembilan menghidupkan peluang untuk merebut slot ke divisyen pertama apabila menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) II 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

Ketiga-tiga gol tuan rumah disumbangkan oleh Almir Neto pada minit ke-12, diikuti Matheus Fernandes (m-63) dan Igor Luiz (m-87), manakala pasukan pelawat menerusi Rozaimi Abdul Rahman (m-30).

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Liga Perdana Selangor United dibelasah 2-6 oleh UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : UTUSANONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*