‘Jangan tunduk dengan karenah ejen’ – Robson nasihatkan Pogba

MANCHESTER: Bekas kapten Manchester United, Bryan Robson meminta Paul Pogba tidak tunduk dengan karenah dan nasihat ejennya.

Ejen Pogba, Mino Raiola sebelum ini mend4kwa bintang Piala Dunia 2018 itu ‘dalam proses’ meninggalkan Old Trafford sambil mend4kwa Real Madrid dan Juventus masing-masing menyatakan minat.

Pogba juga secara terbuka beberapa kali membayangkan masa depannya dengan ayat tersirat ‘mencari cabaran baru’ di tempat lain.

Meskipun kekalutan itu berterusan, namun pemain berusia 26 tahun ituketika ini menyertai skuad United ke jelajah pramusim di Australia dan beraksi 45 minit ketika membantu kemenangan 2-0 ke atas ‘pasukan budak sekolah’ Kelab Perth Glory, di Perth, Australia, kelmarin.

Robson, yang bersama United selama 13 tahun dan kini berperanan sebagai duta Red Devils meminta Pogba segera menghentikan spekulasi perpindahan itu sebaliknya terus fokus kepada kemajuan kelab selaras dengan gaji lumayan yang dinikmatinya.

“Kamu adalah pemain Manchester United, kamu terikat dengan kontrak bersama mereka maka kamu perlu berikan segala-galanya untuk kelab, pasukan dan penyokong mereka,” katanya.

“Terlalu banyak spekulasi mengenai Paul di media. Dia memang pemain utama.

“Sedarlah diri sedikit, lakukan tugas kamu di jelajah pramusim sebaik mungkin. Pada pemerhatian saya, dia melakukannya dengan baik. Tapi jika sesuatu berlaku dan kelab mahu ia berlaku, maka terimalah hakikat berkenaan.”

Robson nyata tidak gembira dengan perlakuan segelintir ejen pemain ternama yang dianggap terlalu mengutamakan wang semata-mata.

Ditanya mengenai masalah tiga pemain bintang (Griezmann, Pogba dan Neymar) yang ponteng latihan awal, Robson berkata: “Saya rasa mereka terlalu terpengaruh dengan cakap ejen mereka yang sepatutnya membiarkan pemain membuat keputusan mereka sendiri.

“Memang kadangkala mereka perlukan pandangan ejen mengenai kelab mana dan waktu paling sesuai berpindah dan sebagainya, tapi pada akhirnya, pemainlah yang bertanggungjawab sepenuhnya atas setiap keputusan yang diambil dalam menentukan hala tuju dan masa depan kerjaya mereka.

“Saya tidak fikir banyak pemain menggunakan pendekatan ini, mereka lebih gemar mendengar nasihat ejen sahaja.

“Ejen mahu mereka pindah randah kerana mereka mahukan wang. Jika seseorang pemain setia dengan kelab dan kekal di situ, ejen tidak dapat duit yang banyak. Saya rasa ini bukan dialami Manchester United saja, tapi hampir semua kelab terkena.

“Saya fikir pemain sekali sekala wajar mencermin diri sendiri dan kemudian barulah membuat keputusan apa yang patut dilakukan dalam meneruskan kerjaya mereka.”

 

Sumber: Agensi via BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*