Fadzrul seperti bermimpi, ‘kisah dongeng’ jadi realiti

KUALA LUMPUR: Pemain muda, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam mencipta ‘kisah dongeng’ yang tersendiri apabila menjadi wira selepas jaringan tunggalnya membolehkan Kedah menundukkan Perak 1-0 pada aksi final Piala FA 2019, malam tadi.

 Ketika peluangnya beraksi di pentas sebesar itu tampak tipis susulan Kedah memiliki ramai pemain berpengalaman namun keputusan pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak memasukkan pemain berusia 21 tahun itu pada minit ke-104 terbukti satu pilihan yang tepat.

 Pemain itu mengutip bola di bahagian tengah sebelum melakukan hantaran kepada Fernando Rodriguez dan tidak sampai seminit, sentuhan keduanya menghasilkan gol kemenangan buat Kedah sekali gus menempah tiket ke saingan Asia musim hadapan.

 Ketika ditemui selepas perlawanan, pemain tengah itu mengakui dia sememangnya menyimpan azam untuk mencipta nama pada pentas terbesar dalam kariernya setakat ini dan bersyukur impian terbabit dapat direalisasikan.

 “Ketika diminta untuk memanaskan badan, saya sememangnya gemuruh kerana ini kali pertama saya beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong. Memang impian saya datang ke Kuala Lumpur untuk mencipta nama malam ini (kelmarin).

 “Ketika memanaskan badan pun, saya memang niat untuk cuba jaringkan gol dan tidak sangka ia menjadi kenyataan. Mungkin ini memang rezeki saya dan Kedah malam ini,” katanya.

 Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim menyifatkan aksi menentang Perak itu sebagai perlawanan terbaiknya sepanjang menyarung jersi Helang Merah.

 “Saya tidak jangka akan diturunkan pada aksi final kerana saya terlepas tiga perlawanan sebelum ini. Jadi terima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul tanggungjawab pada aksi penting ini.

 “Satu perlawanan yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Kejayaan ini adalah berkat usaha keras satu pasukan namun kita tidak boleh terhenti setakat ini kerana selepas ini, masih ada Piala Malaysia untuk diharungi,” katanya.

VIDEO: 

Sumber: BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*