Jurulatih Bangkok United bandingkan Liga Malaysia dengan Liga Thailand

Ketua jurulatih Bangkok United, Alexandre Polking melihat Liga Malaysia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Liga Thailand dari segi kompetitif dan kemudahan infrastruktur tempat latihan.

Katanya dalam The Star, Polking menyifatkan dominasi satu pasukan dalam sesebuah liga menjadikan saingan tidak cukup kompetitif kerana kebanyakan pasukan dalam Liga Malaysia tidak mempunyai kekuatan yang sama dengan juara Liga Super 6 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Liga Malaysia tidak sepatutnya menjadi Liga Johor (JDT). Ia akan menjadikan pertandingan lebih sukar,” kata jurulatih yang berusia 43 tahun itu.

“Kebanyakan pemain skuad kebangsaan Malaysia berada di Selangor. Apabila anda mula mempunyai pemain yang luar biasa, dia akan pergi ke Johor. Ini akan menyukarkan pasukan lain kerana mereka telah banyak melabur untuk membentuk pemain itu setiap tahun.

“Liga Malaysia juga tidak sepatutnya bergantung kepada dua hingga tiga pasukan sahaja untuk bersaing dengan JDT, tetapi semua pasukan perlu percaya dengan kemampuan mereka untuk menjadikan saingan Liga lebih kompetitif.

“Malaysia mempunyai banyak bakat muda, kelab perlu memupuk mereka untuk menjadikan pasukan mereka berdaya saing,” tambahnya.

FOTO: Bangkok Utd

 

Bagaimanapun, Polking puji jumlah kehadiran penyokong yang ramai dalam Liga Malaysia kerana kebanyakan kelab Thailand sukar untuk tarik penonton ke stadium disebabkan oleh lambakan siaran langsung secara percuma di media sosial.

Tetapi beliau masih tidak puas hati dengan padang yang digunakan oleh kebanyakan stadium di Malaysia kerana ia tidak sesuai untuk bermain bolasepak moden.

Beliau berkata demikian selepas melihat pasukannya sukar untuk mempamerkan corak permainan sebenar di permukaan padang jenis ‘cowgrass’ di Stadium Shah Alam ketika dalam kempen Asia Challenge Cup minggu lepas.

“Setiap pasukan dalam Liga mesti telus dengan matlamat mereka, membina infrastruktur yang baik dan mempunyai proses pengambilan pemain yang baik.

“Malaysia mempunyai lebih ramai peminat berbanding di Thailand dan ada stadium yang bagus, tetapi padang perlu menjadi lebih baik.

“Malaysia masih menggunakan rumput lama (cowgrass), ia tidak sesuai untuk bolasepak moden. Apabila hujan, bukan mudah untuk bermain,” jelasnya.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : vocketfc

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*