De Rossi tinggalkan Roma selepas 18 tahun

ROME – Kapten, Daniele De Rossi akan menamatkan kariernya selama 18 tahun bersama Roma sebaik musim berakhir, umum kelab Serie A itu hari ini.

Bekas pemenang Piala Dunia berusia 35 tahun itu akan beraksi dalam perlawanan terakhirnya menentang Parma di laman sendiri pada 26 Mei ini, tetapi dia masih belum bersedia untuk bersara daripada bola sepak profesional.

“(De Rossi) merancang untuk mencari pengalaman baru. Eranya akan berakhir,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Perlawanan terakhir tersebut menjadi aksi penting buat Roma dalam usaha kelab itu membvru slot ke Liga Juara-Juara, musim depan, selepas tahun lalu mereka mara sehingga ke separuh akhir. Namun, Roma kini berada di kedudukan keenam dalam Serie A, dipisahkan hanya satu mata di belakang pasukan di tangga keempat dengan dua perlawanan masih berbaki.

De Rossi telah menghabiskan karier seniornya bersama pasukan bandar tempat kelahirannya selepas bakatnya dibentuk oleh sistem akademi kelab.

“Selama 18 tahun, Daniele menjadi watak penting kepada pasukan AS Roma. Kami semua pasti akan mengalirkan air mata sebaik dia menyarung jersi Giallorossi buat kali terakhir menentang Parma, tetapi kami menghormati keinginannya untuk memanjangkan karier di luar Rome, walaupun, dia telah berusia hampir 36 tahun.

“Bagi pihak semua orang di Roma, saya mahu berterima kasih kepada Daniele di atas dedikasinya kepada kelab selama ini dan kami akan memastikan pintu kami sentiasa terbuka untuknya kembali ke pangkuan kami dengan peranan yang baharu bila-bila masa sahaja dia mahu,” kata presiden kelab, Jim Pallotta.

Rossi melakukan 615 penampilan dan menjaringkan 63 gol untuk Roma dalam semua pertandingan. Dia juga pernah memenangi Coppa Italia pada 2007 dan 2008, serta Supercoppa dalam tahun 2007.  

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber :AFP via Utusan Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*