2 pemain skuad B-18 Malaysia perkuat Asian Eleven di Jepun

SEPANG: Pemain skuad bawah 18 (B-18) tahun kebangsaan, Ali Imran Sukari dan Harith Haiqal Adam Afkar berlepas ke Jepun hari ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyertai program Asian Eleven di Fukushima mulai esok hingga 23 Jun ini.

Kemuncak program berkenaan adalah aksi persahbatan antara pasukan Asian Eleven bertemu Pilihan Tohoku B-18 bagi merebut JapaFunCup di Stadium J-Village, Fukushima pada 22 Jun.

Pasukan Asian Eleven kendalian Takuma Koga bakal dibarisi seramai 21 pemain dari 11 negara Asia Tenggara yang mana setiap negara diwakili oleh dua pemain kecuali Vietnam hanya seorang.

Ali Imran dan Harith Haiqal, kedua-duanya berusia 17 tahun adalah pemain dari Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang berpusat di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.

“Sudah tentu ini peluang terbaik untuk kami berdua menunjukkan kebolehan dan membuktikan pemain Malaysia pun boleh bermain bola sepak di tahap yang tinggi.

“Tempoh latihan seminggu di Jepun nanti akan saya gunakan untuk membentuk gandingan terbaik bersama rakan-rakan baharu,” kata Ali Imran yang beraksi di posisi pertahanan.

Pemain tengah, Harith Haiqal pula berkata, tiada masalah untuk mereka bersaing merebut tempat dengan pemain dari negara Asia Tenggara lain

“Saya akan cuba belajar sebanyak mana ilmu mengenai bola sepak dan bertekad untuk memberikan persembahan yang terbaik,” kata Harith.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal turut hadir bagi memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada Ali Imran dan Harith Haiqal.

“Saya doakan Ali Imran dan Harith Haiqal dapat melakukan yang terbaik di sana nanti. Terima kasih kepada Japan Foundation Asia Center (JFAC) di atas inisiatif ini.

“Sekurang-kurangnya ia memberi peluang kepada pemain muda dari Asia Tenggara mempamerkan bakat dan kemampuan mereka berdepan pasukan dari Jepun.

“Kami di FAM dan NFDP mengalu-alukan program seumpama ini diteruskan pada masa akan datang,” kata Subahan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal NFDP.

 

Sumber: BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*