Durakovic semakin hampir jadikan ‘impian besar’ sebagai realiti

Hanya 90 minit sahaja lagi memisahkan pengendali Perak, Mehmet Durakovic dengan keinginannya untuk menjulang Piala FA sebagai satu realiti.

Sebelum sepak mula aksi separuh akhir pertama, Durakovic memberitahu bahawa ianya akan menjadi sesuatu yang cukup manis jika dapat melangkah ke final dengan menyingkirkan juara bertahan Pahang, seterusnya merangkul trofi yang kali terakhir dimenangi pada 2004.

Durakovic juga mahu mengukuhkan reputasi sebagai jurulatih yang menoktahkan penantian panjang sesebuah pasukan untuk memenangi trofi; sepertimana dia membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia 2015 selepas 10 tahun mereka gagal melakukannya dan juga ketika dia membawa Perak menjulang Piala Malaysia tahun lalu sekaligus menamatkan penantian 18 tahun.

Namun ‘hajat besar’ itu dilihat hampir berkubur pada satu ketika, apabila Perak mengalami kekalahan 1-3 di Stadium Darulmakmur, dengan Hafizul Hakim menjadi sasaran kr1tikan berikutan melepaskan gol sepakan percuma jarak jauh Herold Goulon pada minit akhir, yang menjadikan Perak perlu mengejar defisit dua gol.

Tidak ramai yang yakin sebenarnya keputusan itu boleh diterbalikkan, mengambil kira Perak pada tahun ini tidak begitu konsisten manakala Pahang pula membawa skuad terkuat selepas hanya menurunkan skuad kedua ketika menentang Selangor pada pertengahan minggu.

Namun siapa sangka, ‘comeback’ yang kita lihat diterjemahkan Liverpool dan Tottenham Hotspur di pentas Eropah, disaksikan di hadapan hampir 20,000 penyokong yang membanjiri Stadium Perak.

Tiga gol menerusi J.Parthiban, Brendan Gan dan gol sendiri Faisal Rosli membuatkan Pahang terkesima dan berputih mata gagal dalam misi melangkah ke final buat musim ketiga berturut-turut.

Perak pula mara ke final selepas 14 tahun sejak 2005 dan sekiranya aksi dominan sama dapat diulangi di perlawanan akhir nanti, tiada alasan untuk Durakovic gagal dalam merealisasikan hajat besarnya dan membawa trofi Piala FA kembali ke Perak selepas 15 tahun.

Kali terakhir Perak muncul juara adalah pada 2004, menewaskan Terengganu 3-0 menerusi tiga jaringan di masa tambahan. Khalid Jamlus menjaringkan dua gol dan satu lagi oleh Luciano Gaoux.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : FoxSports

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*