Dua tawaran menanti Hafizh Syahrin

KUALA LUMPUR – Selepas secara rasmi pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder menggantikan posisi Hafizh Syahrin Abdullah dalam pasukan Red Bull KTM Tech 3 dalam saingan MotoGP pada musim hadapan, pelumba negara itu kemungkinan besar akan beraksi di kelas Moto2.

Difahamkan kontrak Hafizh tidak disambung berikutan prestasinya yang dilihat tidak konsisten pada musim ini berbanding penampilan pertama musim lepas ketika mengendali jentera Yamaha.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali percaya sekurang-kurangnya dua tawaran sedang menanti pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin.

Razlan berkata beliau telah berjumpa Hafizh semalam selepas berita mengenai pasukan Red Bull KTM Tech 3 mengumumkan kontrak baharu Binder.

“Memang kontrak Hafizh dengan Tech3 berakhir sehingga musim ini tetapi sudah ada tawaran menanti Hafizh, cuma dia perlukan masa untuk buat pilihan.

“Kalau kita tengok, dalam MotoGP tidak banyak tempat. Peluang dia agak sukar. Pasukan Petronas Yamaha SRT sendiri pun sudah tiada tempat, kami sudah ikat kontrak dengan pelumba sehingga tahun 2020,” katanya yang juga Prinsipal Pasukan MotoGP negara, Petronas Yamaha SRT.

Spekulasi mengenai pasukan itu yang tidak akan mengikat kontrak dengan pelumba negara timbul apabila Hafizh masih tidak ditawarkan kontrak baharu oleh KTM berbanding rakan sepasukannya dari Portugal, Miguel Oliveira yang disahkan bakal menyertai grid kelas MotoGP bersama pasukan Tech3 bagi musim 2020.

Selepas sembilan pusingan musim ini, pelumba berusia 25 tahun itu hanya mengutip tiga mata dengan meraih penamat ke-14 di GP Perancis, Mei lalu dan ke-15 di Litar Assen pada Jun.

Pertukaran jentera kepada KTM turut memainkan peranan kepada prestasi Hafizh musim ini menyaksikan beliau dan pasukan masih dalam proses ‘mengenali’ jentera KTM RC16.

Dalam pada itu, Razlan berkata pihak SIC sedia membantu Hafizh jika pelumba negara mahu meneruskan karier dalam arena permotoran, sama ada dalam saingan MotoGP ataupun Moto2.

“Saya mahu peminat sukan permotoran sabar dan tunggu keputusan daripada Hafizh…beri masa kepada dia. Lagipun sekarang tempoh bercuti, memang ramai pelumba akan bertukar sana-sini (pasukan).

“Sekiranya Hafizh perlukan pertolongan daripada SIC, kita akan bantu dia untuk kekal dalam saingan MotoGP ataupun turun ke Moto2,” katanya ketika diminta mengulas mengenai status Hafizh dalam arena permotoran.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : UTUSAN ONLINE 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*