Klopp tak sabar habiskan pra-musim ini

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tidak sabar menunggu kepulangan barisan bintangnya di Anfield ketika kempen pra-musim ‘pelik’ Reds berlarutan dengan satu lagi kekalahan menentang Napoli.

Kekalahan 0-3 kepada kelab Serie A itu di Edinburgh, awal pagi tadi menyaksikan Reds yang ‘temp4ng’ tanpa kelibat beberapa tonggak kini mengharungi empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Mohamed Salah, Sadio Mane, Roberto Firmino dan penjaga gol Alisson semuanya diberi pelepasan untuk melanjutkan cuti masing-masing selepas komitmen antarabangsa manakala Xherdan Shaqiri dan Naby Keita diketepikan susulan keceder4an.

Klopp mengakui ketiadaan pemain-pemain ini mengundang masalah buat Liverpool ketika aksi pra-musim tetapi ia boleh menghadirkan kejutan buat pasukan lawan.

“Akhirnya, tempoh ini akan berakhir,” kata Klopp. “Saya tidak pernah mengharungi pra-musim seperti ini, tanpa enam pemain utama sepanjang pra-musim. Ia cukup aneh.

“Esok (hari ini) sebahagian daripada mereka akan pulang, ia mungkin lebih baik jika mereka datang lebih awal, tetapi itulah yang berlaku. Perkara terbaik adalah (Manchester) City tidak tahu apa yang akan mereka temui nanti kerana kami sendiri juga mungkin akan terkejut.”

Liverpool dijadual bertemu City dalam aksi pembuka tirai Liga Inggeris iaitu perlawanan Piala Perisai Komuniti di Wembley pada Ahad ini.

Begitupun, Mane yang membantu negaranya Senegal beraksi di final Piala Negara-Negara Afrika diberikan cuti lebih panjang dan dijangka hanya akan pulang pada 5 Ogos.

Liverpool akan melengkapkan perlawanan pra-musim menentang kelab Ligue 1, Lyon, awal pagi Khamis ini dengan Keita dan Shaqiri dijangka akan bermain selepas melengkapkan latihan mereka bersama pasukan.

 

Sumber: Agensi via BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*