Penyokong Kedah, Perak pahat nama dalam ‘Malaysia Book of Records’

Penyokong pasukan Kedah dan Perak yang hadir menyaksikan perlawanan akhir Shopee Piala FA 2019 di Stadium Naaional Bukit Jalil, memahat nama mereka dalam catatan sejarah apabila diiktiraf sebagai pemegang Malaysia Book of Records bagi penyertaan ‘Viking Clap’ terbesar di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records, Christopher Wong Hong Wai mengesahkan rekod tersebut selepas menjadi salah seorang panel menyaksikan 83,520 penonton bersama-sama menjayakan ‘Viking Clap’ 15 minit sebelum sepak mula final Shopee Piala FA 2019.

Tanpa berselindung, Hong Wai memuji komitmen penyokong dari Kedah dan Perak di atas kejayaan mereka melakarkan satu sejarah baru dalam Malaysia Books of Records.

“Hari ini (semalam) selepas mendapat pengesahan daripada pelbagai agensi, Malaysian Book of Records dapat mengesahkan penyertaan Viking Clap dalam aksi final Shopee Piala FA 2019 adalah paling terbesar di Malaysia.

“Satu semangat kesukanan bagus yang ditunjukkan daripada penyokong kedua-dua pasukan. Saya dapat melihat kepuasan penyokong yang hadir pada malam ini,” ujarnya.

Dalam aksi final semalam, Kedah dinobatkan sebagai juara baharu Shopee Piala FA selepas menewaskan Perak hasil jaringan tunggal pemain muda, Fazrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105.

Sementara itu, Hong Wai berharap lebih banyak rekod-rekod baru akan dicipta dalam arena bolasepak tanah air untuk diiktiraf oleh pihak mereka.

“Sebelum ini Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pasukan pertama yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records selepas memenangi Liga Super enam kali berturut-turut dan malam ini (semalam) satu lagi rekod baharu (Viking Clap) tercipta di sini.

“Saya percaya sukan bola sepak yang sentiasa menjadi perhatian daripada rakyat Malaysia akan terus melahirkan rekod-rekod berlainan dalam Malaysia Book of Records pada masa akan datang,” ujarnya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : FoxSports

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*